Inisiatif Waqaf & Pelaburan
Hibah Lil Waqaf (memberi hadiah bagi tujuan berwakaf) Program yang bermula pada Oktober 2019 dan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor ini membolehkan peserta Hibah Lil Waqaf berpeluang berhibah harta mereka di mana pelaksanaannya boleh dibuat ketika mereka masih hidup ataupun selepas meninggal dunia dengan tujuan akhirnya harta tersebut akan di wakafkan.
Hibah bersih (setelah tolak kos yang terlibat) yang diterima oleh Waqaf An-Nur akan diwakafkan dengan membeli saham-saham patuh Syariah bagi pihak penghibah.

Bagi pelaksanaan Hibah lil Waqaf semasa hidup, orang ramai boleh berhibah harta mereka sebagai contoh tunai, rumah, kedai pejabat atau tanah kepada Waqaf An-Nur dan seterusnya Waqaf An-Nur akan mencairkan harta tersebut (jika bukan di dalam bentuk tunai).
Bagi pelaksanaan Hibah lil Waqaf selepas meninggal dunia, Waqaf An-Nur telah bekerjasama dengan Syarikat Takaful, Syarikat Pengurusan Harta, Syarikat Pemegang Amanah dan Syarikat Unit Amanah. Orang awam digalakkan berwakaf melalui harta yang mereka ada menerusi hibah atau wasiat harta yang boleh diuruskan oleh syarikat pengurusan wasiat dan syarikat pemegang amanah. Pemegang takaful juga boleh menyerah hak (assignment) sebahagian manfaat takaful kepada Waqaf An-Nur melalui syarikat takaful.